Thursday, June 10, 2010

Kisah Saya dan Telefon Bimbit

















Bismillah (Nukhlis niyyatana…)


Setelah lebih tiga minggu berada di tanah air, saya mula tak senang duduk apabila mengenangkan negeri studi saya, Mesir. Negeri yang disebut empat kali dalam Al-Quran itu cukup signifikan dengan perjalanan tarbiyah saya. Banyak episod tarbawi yang saya lalui. Salah satu yang boleh saya kongsikan adalah mengenai telefon bimbit.


Kembara tahun pertama saya di Universiti Al-Azhar cawangan Kaherah ditemani sebuah handset nipis Motorola L6. Saya beli secara second-hand dari adik saya. Murah saja, RM100. Adik saya beli pada awal 2007. Saya menggunakannya tanpa sebarang masalah.


Pada akhir musim sejuk 2009 (Mac 09), handset nipis itu mula meragam. Kadang-kadang ia ‘mati’ sendiri. Pada ketika tertentu, lambat responnya pada arahan saya. Ada teman yang mengusulkan agar diganti saja. Namun, saya kurang ambil berat tentang hal-hal begini. “Aku bukannya banyak duit. Lebih baik aku fokus studi”.


Satu hari pada Jun 2009, saya dijadualkan untuk menghadiri MABIT (iftar dan qiam jamaie) yang bermula jam 5.00 petang. Malangnya, saya benar-benar terlupa. Jadi saya buat kerja sendiri di rumah. Tiba-tiba, teman serumah bertanya, “Bilal, tak pergi MABIT ke? Dah lambat ni!”.


“MABIT? Alamak, lupalah! Pukul 5 kan?”, balas saya. Ketika itu jam menunjukkan pukul 6.00 pm.


Saya terus kemas baju, sikat rambut dan segera ke tempat MABIT. Dalam perjalanan, saya tertanya-tanya; “kenapa tak ada orang call untuk ingatkan aku? Ingat aku suka datang lambat ke?”. Bila dilihat pada handset, saya jadi tahu. Rupanya handset saya meragam lagi; ia mati sendiri. “Ya Rabb..!”


Ketika saya sampai, semua orang tengok saya. Saya tahu saya lambat lebih sejam. Dalam masa yang sama, saya tahu mereka melihat saya dengan husnu dzon. Saya ambil tempat dan buat aktiviti yang sedang berjalan, iaitu tilawah fardi. Dalam pada itu, jiwa saya tak tenang kerana dihujani rasa bersalah.


Tak sampai lima minit, seorang senior saya menghampiri dan bertanya,


“Assalamualaikum Bilal, apa khabar? Kenapa lambat?”


“Waalaikumussalam. Sihat. Maaf ya, ana lambat sebab terlupa”, balas saya.


“Ana cuba call enta tadi, tapi tak dapat”, sambungnya.


"Handset ana mati sendiri. Dia memang kadang-kadang meragam macam ni”


“Dah sampai masa tukar agaknya. Belilah yang baru. Handset ni penting. Alat dakwah”, lembut tuturnya menasihati saya.


Kemudian dia menyambung, “Enta beli handset baru tu dapat pahala, sebab ia melajukan dakwah enta”.


Saya sedikit terpana bila mendengar kalamnya. Tak pernah saya sangka sebelum ini handset berperanan sejauh itu. Saya pasang tekad. Esoknya, saya terus ke Genena Mall. Petang itu, saya pulang ke rumah dengan kawan baru, Sony Ericsson K530i. LE800! (RM500).





















Bagi saya, ia mahal. Tak patut saya beli semahal itu. Namun, mengenangkan kata-kata senior, saya nekad. “Tak apa, nanti aku puasalah!”


Demikian kisah saya dengan handset. Dunia tarbawi mengajak saya meneroka banyak perkara yang saya tak sangka. Hakikatnya, seluruh hidup ini adalah ibadah, hatta membeli handset pun; asal disertai niat yang sahih. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah ke sebesar-besar perkara.


Contohnya, menyapu lantai rumah yang berhabuk boleh menjadi ibadah yang mulia jika disertakan tekad ‘memberi khidmat sebaik-baiknya kepada teman serumah’.


Nikah pula amat mulia andai disertai tekad mencari reda Allah, menjauhi larangan-Nya, membangun institusi keluarga contoh, membina generasi pelapis dakwah dan lain-lain. (You know better than me ^_^)


Mungkin itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah SWT:


قل إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين (الأنعام- 162)


Maksudnya:

“Katakanlah, ‘Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam’” (Surah Al-An’am- 162).


Sampai sini dulu bicara saya. Akhir kata, moga kita generasi Al-Amin terus berusaha ‘mengesani’ dan membangun ruh masyarakat.


Dengan semangat Nuh A.S kita melangkah,

dengan keberanian Ibrahim A.S kita berbicara,

dengan sabar Musa A.S dan Isa A.S kita dekati,

dengan manhaj Muhammad S.A.W kita serah segalanya.



(Oooh.., rindunya Mesir..)




BILAL BIN JAILANI (G5)















No comments: